Menangkis Fitnah K.H Sirajuddin Abbas al-Jahmiyyah Ke Atas Syaikhul Islam Ibn Taimiyyah Rahimahullah
Menangkis Fitnah K.H Sirajuddin Abbas al-Jahmiyyah Ke Atas Syaikhul Islam Ibn Taimiyyah Rahimahullah
Menangkis Fitnah K.H Sirajuddin Abbas al-Jahmiyyah
Ke Atas Syaikhul Islam Ibn Taimiyyah Rahimahullah
Sebagai Pencetus Akidah Al-Mujassimah dan Al-Musyabbihah.
Penulis artikel: Mohd Hairi bin Nonchi
Pendidikan Sains Sosial, Universiti Malaysia Sabah.
Syaikhul Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah ialah nama yang tidak asing
lagi di sisi para pendukung dan pencinta al-Sunnah Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam, mengingatkan sumbangannya yang begitu
besar di dalam meneruskan kesinambungan usaha memelihara dan
mendakwahkan al-Sunnah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam kepada
umat manusia serta berusaha gigih memeliharanya dari sebarang unsur luar
yang menghakis ketulenannya.
Siapakah Syaikhul Islam Ibn Taimiyyah ?
Nama penuh beliau ialah Ahmad bin ‘Abd al-Halim bin ‘Ab al-Salam
al-Harani, merupakan seorang Imam Mujtahid yang dilahirkan pada tahun
661H dan meninggal dunia pada tahun 728H di Damsyik. Beliau terkenal
sebagai seorang yang bersungguh-sungguh dalam mempelajari ilmu-ilmu
agama sehingga akhirnya beliau telah menjadi seorang yang amat pakar di
dalam bidang keilmuan seperti bidang usul, hadis, tafsir, fiqh, bahasa,
syari’at, mantik, falsafah, perbandingan agama dan pelbagai lagi. Beliau
juga begitu terkenal sebagai seorang ulamak Islam yang banyak berkarya
sehingga mencapai beratus-ratus judul (diterangkan bahawa beliau
memiliki lebih kurang 300 buah karya) dan kitab beliau yang paling
terkenal adalah bertajuk Majmu’ al-Fatwa.
Pandangan tokoh-tokoh Islam ke atas Syaikhul Islam.
Setelah kita mengetahui serba sedikit mengenai latar belakang Syaikhul
Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah, maka ada baiknya kita melihat pula
apakah pandangan para imam muktabar Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah yang
bermanhaj al-Salaf al-Shalih ke atas Syaikhul Islam.
· Pertama: Pujian al-Hafiz al-Zahabi rahimahullah (w.748H), seorang
tokoh agung dalam Ilmu Hadis – yang juga merupakan murid Ibn Taimiyyah –
menyenaraikan gurunya itu di dalam kitabnya Tazkirah al-Huffaz yang
dikhaskan untuk para hafiz dalam hadis. Beliau memuji Ibn Taimiyyah
dengan pujian yang sangat hebat juga menggelarnya dengan gelaran
Syaikhul Islam, antara lain katanya:
“Ibn Taimiyyah: Seorang syaikh, imam, al-`allamah (sangat alim),
al-hafiz (dalam hadis), seorang yang kritis, mujtahid, penafsir
(al-Quran) yang mahir, beliau adalah syaikhul Islam….dari lautan ilmu,
dari para cendikiawan yang terbilang, dari golongan zuhud yang sukar
dicari, dari tokoh-tokoh yang berani dan pemurah lagi mulia, dipuji oleh
penyokong dan penentang.” [Dinukil daripada buku Himpunan Risalah Dalam
Beberapa Persoalan Ummah (Buku 3); dalam edisi e-book, Hafiz Firdaus
Abdullah (Perniagaan Jahabersa, Johor Bahru, 2005), ms. 115].
· Kedua: Pujian al-Hafiz Ibn Hajar al-`Asqalani rahimahullah (w.852H)
dalam kitabnya al-Durar al-Kaminah menceritakan mengenaikan fitnah yang
dikenakan kepada Ibn Taimiyah, sehingga beliau menyebut:
“Ibn Taimiyyah terus dipenjara sehingga kembali ke rahmat Allah. Kepada
Allah juga kembali segala urusan. Dia memerhatikan mereka yang khianat
dan apa yang disembunyikan di dalam dada. Hari kematian Ibn Taimiyyah
itu menjadi bukti, manusia memenuhi jalan menyambut jenazahnya, orang
Islam datang dari serata pelusuk. Mereka mengambil keberkatan dengan
menghadiri jenazahnya, pada hari yang ditegakkan bukti, mereka semua
ingin memegang kerandanya sehingga patah kayunya …… Ibn Taimiyyah imam
kepada semua para imam, keberkatan umat, yang sangat alim di kalangan
ulama, pewaris para anbiya.” Sehinggalah beliau juga menggelarnya
sebagai “Syeikhul Islam”. [Dinukil daripada buku Himpunan Risalah Dalam
Beberapa Persoalan Ummah (Buku 3), ms. 116].
· Ketiga: Pujian al-Imam Sayuti rahimahullah (w.911H) juga menyenaraikan
Ibn Taimiyyah dalam senarai para huffaz hadis (para hafiz hadis), iaitu
dalam kitabnya Tabaqat al-Huffaz. al-Imam Sayuti yang bermazhab Syafi’i
itu memperkenalkan Ibn Taimiyyah seperti berikut:
“Ibn Taimiyyah, seorang syaikh, imam, al-`allamah (sangat alim) hafiz,
seorang yang kritis, faqih, mujtahid, seorang penafsir al-Quran yang
mahir, Syeikhul Islam, lambang golongan zuhud, sangat sedikit sepertinya
di zaman ini …… salah seorang tokoh terbilang …… memberi perhatian
dalam bidang hadis, memetik dan menapisnya, pakar dalam ilmu rijal (para
perawi), `illal hadis (kecacatan tersembunyi hadis) juga fiqh hadis,
ilmu-ilmu Islam, ilmu kalam dan lain-lain. Dia daripada lautan ilmu,
daripada cendikiawan yang terbilang, golongan zuhud dan tokoh-tokoh yang
tiada tandingan.” [Dinukil daripada buku Himpunan Risalah Dalam
Beberapa Persoalan Ummah (Buku 3), ms. 116-117].
· Keempat: Pujian al-Imam al-Subki rahimahullah (w.756H), iaitu seorang
ahli tafsir dan ahli dalam medan debat terkemuka bermazhab Syafi’e.
Beliau berkata mengenai Ibn Taimiyyah semasa menjawab surat gurunya,
al-Hafiz al-Zahabi yang memarahinya di atas perkataannya terhadap Ibn
Taimiyyah sebelum ini dimana dia berkata:
“Adapun apa yang tuan katakan mengenai al-Syaikh Taqiyuddin (Ibn
Taimiyyah), maka hamba ini (saya) telah pun pasti ketinggian
kemampuannya, limpahan dan keluasan lautan ilmunya dalam naql (al-Qur’an
dan al-Sunnah) dan akal, kehebatan dan kebijaksanaan dan ijtihadnya,
juga dia mencapai kesemuanya itu lebih dari yang disifatkan. Hamba ini
(saya) sentiasa akan mengakuinya. Nilainnya (Ibn Taimiyyah) pada diri
ini lebih besar dan mulia dari segalanya. Dengan apa yang telah Allah
himpunkan padanya dari sifat zuhud, warak, kuat beragama, membela dan
menegakkan agama kebenaran semata-mata kerana Allah. Dia melalui
perjalanan ulamak salaf dengan sepenuhnya, sangat asing orang sepertinya
pada zaman ini bahkan di mana-mana zaman pun.” [Dinukil daripada buku
Menangkis Pencemaran Terhadap Agama & Tokoh-Tokohnya, Dr. Mohd Asri
Zainul Abidin (Karya Bestari Sdn Bhd, Selangor, 2005), ms. 123].
Demikianlah beberapa pujian dan pengiktirafan yang diberikan oleh para
ulamak muktabar Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah terhadap Syaikhul Islam Ibn
Taimiyyah rahimahullah. Sungguhpun demikian pujian dan pengiktirafan
yang telah diberikan oleh para ulamak muktabar Ahl al-Sunnah wa
al-Jama’ah ke atas beliau rahimahullah, namun di sebalik itu semua masih
ada lagi segolongan manusia yang dilihat begitu tegar di dalam
memerangi dakwah Syaikhul Islam.
Di antara fitnah yang sering dilontarkan oleh para musuh Syaikhul Islam
terhadap beliau ialah termasuklah menganggap beliau sebagai pencetus
kepada akidah al-Mujassimah, iaitu meyakini Allah sebagai Tuhan yang
beranggota (berjisim) dan al-Musyabbihah, iaitu menganggap Allah sebagai
Tuhan yang memiliki sifat yang sama dengan sifat makhluk. Keadaan ini
semakin menjadi berat apabila kebanyakan fitnah tersebut adalah
dilontarkan oleh sebahagian “golongan agamawan”, terutamanya dari
kalangan para penganut amalan kesufian yang menyeleweng dan golongan
jahil yang sememangnya memiliki manhaj yang bertentangan dengan manhaj
al-Salaf al-Shalih dalam persoalan akidah (khususnya yang berkaitan
dengan perkara tauhid al-Asma’ wa al-Sifat). Antara individu yang paling
lantang melontarkan fitnah ke atas Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah
rahimahullah termasuk yang berada di Malaysia ialah:
· Zamihan Mat Zain al-Ghari menerusi buku yang bertajuk Salafiyah
Wahabiyah Satu Penilaian yang diterbitkan oleh Tera Jaya Enterprise,
Cheras, 2001 dan beberapa kertas kerjanya seperti Menjawab Kritikan
Terhadap Fahaman Wahabiyah Di Malaysia dan Memahami Ancaman Terhadap
Ahli Sunnah Wal Jamaah.
· K.H Sirajuddin Abbas menerusi bukunya yang bertajuk I’tiqad Ahlus
Sunnah Wal Jamaah yang diterbitkan oleh Pustaka Tarbiyah Baru, Jakarta
Selatan, 2008.
· ‘Abdullah al-Siddiq al-Ghumari menerusi bukunya yang kini sudah
diterjemahkan atas judul Makna Sebenar Bid’ah: Satu Penjelasan Rapi,
terbitan Middle East Global, Kuala Lumpur, 2005.
Walau bagaimanapun, kesemua fitnah, pengkhianatan, pembohongan dan
penyelewengan ilmiah para pemfitnah dan pendusta di atas telah pun
dibongkar dan dijawab semula oleh para pendukung dan pencinta Sunnah
tanah air. Silalah rujuk buku-buku berikut di bawah ini bagi mengetahui
apakah bentuk fitnah, pengkhianatan, pembohongan dan penyelewengan
ilmiah yang dilakukan oleh para pemfitnah dan pendusta di atas dalam
menjustifikasikan fitnah-fitnah yang dilontarkan oleh mereka terhadap
Syaikhul Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah berserta jawapan Ahli Sunnah
terhadapnya:
1) Menjawab 17 Fitnah Terhadap Syaikh al-Islam Ibn Taimiyah, Syaikh Murad Syukri (Perniagaan Jahabersa, Johor Bahru).
2) Pembongkaran Jenayah Ilmiyah Buku Salafiyah Wahabiyah: 73 Penilaian
Semula Ke Atas Penilaian Zamihan Mat Zain al-Ghari, Hafiz Firdaus
Abdullah (Perniagaan Jahabersa, Johor Bahru).
3) Menangkis Pencemaran Terhadap Agama & Tokoh-Tokohnya, Dr Mohd Asri Zainul Abidin (Karya Bestari Sdn Bhd, Selangor).
4) Siapakah Ahli Sunnah Yang Sebenar, Dr Azwira Abd Aziz (Perniagaan Jahabersa, Johor Bahru).
5) Koleksi Kuliah-Kuliah Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah Menurut Manhaj
Salaf As-Soleh (Jilid 1), Ustaz Rasul Dahri (Perniagaan Jahabersa, Johor
Bahru).
Sekilas mengenai fitnah K.H Sirajuddin Abbas ke Syaikhul Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah.
Ingin ditarik perhatian para pembaca yang budiman sekalian kepada salah
seorang tokoh pemfitnah dan pendusta yang cukup masyhur di Indonesia
iaitu K.H Sirajuddin Abbas yang merupakan salah seorang pembawa bendera
al-Jahmiyyah dan salah seorang pemimpin besar quburiyyun (pemuja qubur).
Menerusi bukunya yang bertajuk I’tiqad Ahlus Sunnah Wal Jamaah, beliau
didapati telah pun menabur begitu banyak fitnah dan pendustaan yang
tidak berasas ke atas Syaikhul Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah. Di
antaranya yang paling masyhur ialah beliau mendakwa bahawa Syaikhul
Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah sebagai penganut akidah al-Mujassimah
dan al-Musyabbihah, lantas dengan itu beliau menjatuhkan hukum “sesat”
kepada tokoh tersebut dan mereka yang sealiran dengan pegangan Syaikhul
Islam. Bagi menguatkan dakwaan ini, berikut dinukilkan beberapa contoh
fitnah oleh K.H Sirajuddin Abbas ke atas Syaikhul Islam sebagaimana yang
dimaksudkan berserta koreksi Ahli Sunnah ke atasnya, antara lain beliau
berkata:
“Bagi Ibn Taimiyyah Tuhan mempunyai muka, tangan, mata, rusuk, duduk
bersela, datang dan pergi dan Cahaya langit dan bumi, karena hal itu
semuanya tersebut dalam al-Quran, katanya. Tuhan berada di atas langit,
boleh ditunjuk dengan anak jari, mempunyai tumit kaki, mempunyai tangan
kanan, mempunyai nafas, naik-turun dan Tuhan itu “masa”, karena semuanya
itu tersebut dalam Hadits yang sahih-sahih, kata Ibnu Taimiyah. Jadi
beliau sebenarnya harus dimasukkan dalam Bab kaum Mujassimah atau
Musyabbihah, karena ada persamaannya dalam I’tiqad” [I’tiqad Ahlus
Sunnah Wal Jamaah, K.H Sirajuddin Abbas (Pustaka Tarbiyah Baru, Jakarta
Selatan, 2008), ms. 300].
Sekian “fatwa” yang dikeluarkan oleh K.H Sirajuddin Abbas terhadap
Syaikhul Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah. Bagi menjawab tuduhan yang
dilontarkan oleh tokoh al-Jahmiyyah terhadap Syaikhul Islam Ibn
Taimiyyah rahimahullah di atas, berikut akan saya turunkan beberapa
penjelasan oleh Ahli Sunnah terhadapnya yang saya nukilkan secara
ringkas daripada buku Koleksi Kuliah-Kuliah Akidah Ahli Sunnah Wal
Jamaah Menurut Manhaj Salaf As-Soleh, Jilid 1, Ustaz Rasul Dahri
(Perniagaan Jahabersa, Johor Bahru, 2001), halaman 12-19:
Pada hakikatnya, bukan Syaikhul Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah seorang
sahaja yang menyatakan bahawa Tuhan mempunyai muka, mempunyai tangan,
mempunyai mata, mempunyai jari, berada di langit serta mempunyai
sifat-sifat lain yang paling sempurna dan layak bagi-Nya. Oleh itu
beliau tidak boleh dihukum sesat oleh K.H Sirajuddin dan oleh mereka
yang terpengaruh dengan fahaman K.H Sirajuddin.Dalam hal ini, fahaman,
pegangan dan amalan Ibn Taimiyyah adalah berdasarkan fahaman para
sahabat, tabi’in, tabi’ut at-tabi’in dan semua para ulamak Ahl al-Sunnah
wa al-Jama’ah yang bermanhaj al-Salaf al-Shalih, kerana kenyataannya
beliau bersefahaman, sependapat dan seakidah dengan mereka. Antara
mereka yang jelas semanhaj (sefaham dan seakidah) dengan Syaikhul Islam
Ibn Taimiyyah rahimahullah ialah:
· Pertama: al-Imam al-Auza’i rahimahullah yang dianggap Imam ahli Syam di zamannya. Beliau menegaskan:
“Kami dan para tabi’in semuanya menetapkan dengan kesepakatan (ijmak)
qaul kami bahawa: Sesungguhnya Allah di atas ‘Arasy-Nya dan kami beriman
dengan apa yang telah dinyatakan oleh al-Sunnah berkenaan sifat-sifat
Allah Ta’ala.” [Fathul Bari, Ibn Hajar al-‘Asqalani, jld. ms. 406, (Dar
Ihya at-Turath al-Arabi, Beirut)].
· Kedua: al-Imam Abu Hasan al-Asy’ari rahimahullah yang dikenali sebagai
Imam Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah, beliau telah menegaskan bahawa
al-Qur’an bukan makhluk dan diturunkan oleh Allah yang berada di langit
dan beliau seterusnya menjelaskan:
“Allah mempunyai sifat, mempunyai tangan, bersemayam di atas ‘Arasy-Nya
dan mempunyai muka. Al-Qur’an itu Kalamullah bukan makhluk dan al-Qur’an
diturunkan dari langit” [Iktiqad Aimmatul Hadits, Ismaili, ms. 50-51].
· Ketiga: al-Imam asy-Syafi’e menjelaskan (sebagaimana yang diriwayatkan
oleh Abi Talib setelah beliau ditanya tentang sifat Allah:
“Dan bagi-Nya dua tangan sebagaimana firman-Nya: “(Tidak demikian),
tetapi kedua-dua tangan Allah terbuka”. Bagi-Nya tangan sebagaimana
firman-Nya: “Dan langit digulung dengan tangan kanan-Nya”. Allah
mempunyai wajah sebagaimana firman-Nya: “Setiap sesuatu akan binasa
kecuali wajah-Nya”. Bagi-Nya kaki sebagaimana sabda Nabi shalallahu
‘alaihi wasallam: “Sehinggalah Dia meletakkan wajah dan kaki-Nya”. Dia
mempunyai jari sebagaimana sabda Nabi shalallahu ‘alaihi wasallam:
“Tiadalah hati itu kecuali jari-jari dari jari-jari Ar-Rahman (Allah)”.
Kami (Imam asy-Syafi’e dan para ulamak Ahli Sunnh lainnya –pen)
menetapkan sifat-sifat ini dan menafikan dari penyerupaan sebagaimana
dinafikan sendiri oleh Allah sebagaimana difirmankan: “Tiada sesuatu pun
yang semisal dengan-Nya dan Dia Maha Mendengar dan Maha Melihat.”
[Iktikad Qimmah al-Arba’ah, Abu Hanifah, Malik, Syafie wa Ahmad,
(cetakan pertama Darul ‘Asimah Saudi Arabia), ms. 46-47].
al-Imam asy-Syafi’e rahimahullah seterusnya menjelaskan lagi:
“Kita menetapkan sifat-sifat (Allah) sebagaimana yang didatangkan oleh
al-Qur’an dan yang warid tentang-Nya dari al-Sunnah, kami menafikan
tasybih (penyerupaan) tentang-Nya kerana dinafikan oleh diri-Nya sendiri
sebagaimana firman-Nya (Tiada sesuatu yang semisal dengan-Nya.”
[Iktikad Qimmah al-Arba’ah, Abu Hanifah, Malik, Syafie wa Ahmad, ,
ms.42].
al-Imam asy-Syafi’e rahimahullah telah menjelaskan juga tentang turun naiknya Allah:
“Sesungguhnya Dia (Allah) turun setiap malam ke langit dunia
(sebagaimana) menurut khabar dari Rasulullah shalallahu ‘alaihi
wasallam.” [Iktikad Qimmah al-Arba’ah, Abu Hanifah, Malik, Syafie wa
Ahmad, , ms.47].
Imam asy-Syafi’e rahimahullah dan Ibn Taimiyyah, mereka berdua ada
kesepakatannya dalam meyakini tentang turun-naiknya Allah. Mereka
berlandaskan kepada sabda Rasulullah shalallahu ‘alaihi wasallam (yang
bermaksud):
“Tuhan kita turun ke langit dunia pada setiap malam apabila sampai ke
satu pertiga dari akhir malam, maka Dia berfirman: Sesiapa yang berdoa
akan Aku perkenankan, sesiapa yang meminta akan Aku tunaikankan dan
sesiapa yang meminta keampunan akan Aku ampunkan” [Hadis riwayat
al-Bukhari – hadis no: 1141, Muslim – hadis no: 78, Abu Daud – hadis no:
4733, at-Tirmizi – hadis no: 4393, Ibn Majah – hadis no: 1366 dan Ahmad
1/346]
· Keempat: Dalam satu riwayat hadis mutaffaq ‘alaihi, bahawa Allah itu
“ad-Dhar” atau “masa”. Namun, bagaimana K.H Sirajuddin Abbas
menafikannya. Sabda Rasulullah ini (yang bermaksud): “Janganlah kamu
maki ad-Dhar (masa), kerana sesungguhnya Allah itu adalah masa” [Hadis
riwayat al-Bukhari dan Muslim].
Demikian salah satu pendedahan fakta mengenai pendustaan yang dilakukan
oleh tokoh aliran al-Jahmiyyah dan quburiyyun Indonesia, K.H Sirajuddin
Abbas terhadap salah seorang tokoh ulamak muktabar Ahl al-Sunnah wa
al-Jama’ah, Syaikhul Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah.
Pada kesempatan ini, saya (mohd. Hairi), ingin bertanya kepada para
pengekor tokoh pendusta dan pemfitnah di atas: jika benarlah kenyataan
si pendusta tersebut di atas bahawa Syaikhul Islam Ibn Taimiyyah
rahimahullah sebagai salah seorang penganut akidah al-Mujassimah dan
al-Musyabbihah hanya kerana manhajnya dalam menithbatkan (menetapkan)
nas-nas sifat Allah tanpa ta’hil (menghilangkan fungsi sifat) dan
tasybih (menyerupakan sifat Allah dengan sifat makhluk), mengapakah
dakwaan, tohmahan dan hukuman yang sama tidak ditujukan kepada ulamak
muktabar Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah selain beliau dari kalangan
al-Salaf al-Shalih yang turut mengaplikasikan manhaj yang sama dengan
Syaikhul Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah dalam berinteraksi dengan
sifat-sifat Allah Subhanahu wa Ta’ala iaitu menetapkan (ithbat)
sifat-sifat Allah tanpa ta’thil dan tasybih? Saya menyerahkan persoalan
ini kepada kebijaksanaan dan keadilan para pembaca yang budiman sekalian
untuk menilai sendiri siapakah yang sebenarnya yang patut dipersalahkan
dalam hal ini serta yang paling layak untuk dianugerahkan pangkat
“kesesatan” sebagaimana dakwaan si pendusta, K.H Sirajuddin Abbas dan
para pengkornya ke atas Syaikhul Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah
menerusi bukunya tersebut.
Seterusnya, marilah kita perhatikan pula satu lagi contoh fitnah yang
dilontarkan oleh tokoh pujaan golongan yang beraliran al-Jahmiyyah dan
para pemuja kuburan (quburiyyun) ini ke atas Syaikhul Islam Ibn
Taimiyyah rahimahullah. Dalam bukunya yang sama di atas (I’tiqad Ahlus
Sunnah Wal Jamaah), pada halaman 303, beliau telah memetik kata-kata
Ibnu Bathuthah dalam kitabnya Rahlah Ibnu Bathuthah, juz 1, halaman 57
(cetakan Azhariyah, Kairo, 1928M) yang bermaksud:
“Saya (Ibnu Bathuthah –pen) ketika itu sedang berada di Damsyiq. Saya di
masjid mendengar dia (Ibn Taimiyyah –pen) memberi pelajaran di hadapan
umum di mimbar mesjid kami”. Banyak pelajaran diucapkan. Di antara
perkataannya: ” Tuhan Allah turun ke langit dunia serupa turunnya dengan
turun saya ini”, lalu ia turun satu tingkat di jenjang mimbar. Pada
ketika itu seorang ulama ahli fiqih Madzhab Maliki bernama Anus Zahra’
membantah dia dan melawan ucapan-ucapan Ibnu Taimiyyah”.
Dengan memetik kenyataan Ibn Bathuthah secara semberono dan tanpa
melakukan sebarang pengkajian ilmiah terhadap kesahihan faktanya di
atas, tokoh al-Jahmiyyah dan pemfitnah ini telah pun membuat kesimpulan
dalam bukunya itu bahawa Syaikhul Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah
adalah seorang ulamak penyesat yang berakidah tajsim dan tasybih
lantaran tindakannya – menurut dakwaan palsu Ibn Bathuthah yang ditelan
mentah-mentah oleh si jahil ini (K.H Sirajuddin Abbas) – yang menyamakan
turunnya beliau (Ibn Taimiyyah) dari tangga turun Masjid Damsyiq itu
adalah sama dengan turunnya Allah ke langit dunia.
Bagi menjawab fitnah dan tuduhan yang melulu lagi tidak berasaskan
kepada fakta yang benar ini, maka saya kemukakan beberapa hujah di bawah
ini yang saya nukil daripada buku Menangkis Pencemaran Terhadap Agama
& Tokoh-Tokohnya, Dr. Mohd Asri Zainul Abidin (Karya Bestari Sdn
Bhd, Selangor, 2005) halaman 125-128:
Para ulamak yang ikhlas telah bangun menjawab fitnah Ibn Bathuthah ini.
Antara apa yang ditulis oleh alim Syam yang terkenal, al-‘Allamah
Muhammad Bahjah al-Baitar dalam bukunya Hayat Syaikh al-Islam Ibn
Taimiyyah (cetakan al-Maktab al-Islami, Beirut, ms. 43-49). Antara
jawapan beliau yang panjang lebar itu:
· Pertama: Ibn Bathuthah sebenarnya tidak mendengar perkara tersebut
daripada Ibn Taimiyyah sama sekali. Ia hanyalah satu pembohongan.
Buktinya, dalam catatannya, beliau sampai ke Damsyiq pada hari Khamis,
19 Ramadan tahun 726H, sedangkan Ibn Taimiyyah telah dipenjarakan pada
awal bulan Sya’ban tahun tersebut, dan terus berada dalam penjara
sehingga meninggal pada malam Isnin 20 Zulkaedah ahun 728H. Bagaimana
mungkin Ibn Bathuthah dapat melihatnya?
· Kedua: Buku kembara Ibn Bathuthah (Rahlah Ibnu Bathuthah –pen) penuh
dengan cerita pelik lagi tidak masuk akal dan palsu. Cerita ini diambil
daripada orang ramai yang dia dengar di negeri-negeri yang dikunjungi,
tanpa sebarang penilaian. Umpamanya beliau menyatakan di tengah Masjid
Umawi di Damsyiq ada kubur Nabi Zakaria ‘alaihissalam, sedangkan yang
diketahui ianya adalah kubur Yahya ‘alaihissalam. Juga dakwaannya
kononnya di membaca di dalam Fadail al-Damsyiq daripada Sufyan al-Thauri
bahawa solat di Masjid Damsyiq sama dengan pahala tiga puluh ribu
solat. Kita tahu bahawa perkara seperti ini tidak boleh dibuat dengan
andaian akal. Orang yang seperti Sufyan al-Thauri tidak akan membuat
dakwaan seperti yang tidak mempunyai sebarang dalil. Dakwaan ini telah
melebihkan Masjid Damsyiq ke atas Masjid Nabi dan Masjid al-Aqsa.
Kedua-dua masjid tersebut pun tidak sampai ke darjat yang seperti ini.
Mustahil tokoh hadis dan warak seperti Sufyan al-Tahuri membuat dakwaan
ini, melainkan satu pembohongan terhadapnya.
Bahkan Ibn Bathuthah mengakui fadilat (kelebihan) bernazar untuk
kubur-kubur utama jika seseorang dalam kesusahan di pukul angin kencang
di tengah lautan. Sedangkan dalam keadaan tersebut golongan musyrikin
pun akan terus berdoa kepada Allah tanpa sebarang syirik. Malangnya Ibn
Bathuthah dapat menerima dan mengakui nazar seperti ini: Firman Allah
(maksudnya) : “Dalam pada itu, apabila mereka naik bahtera (lalu menemui
sesuatu bahaya di laut), mereka memohon pertolongan kepada Allah dengan
doa yang tulus ikhlas kepada-Nya. Kemudian setelah Allah selamatkan
mereka (naik) ke darat, mereka berlaku syirik kepada-Nya” [Surah
al-‘Ankabut: 65]. Oleh itu, tidak mustahil, buku ini menyebut kisah
palsu yang disandarkan kepada Ibn Taimiyyah rahimahullah, padahal beliau
tidak pernah berbuat demikian.
· Ketiga: Ibn Taimiyyah tidak pernah menjadi khatib Masjid Damsyiq,
seperti yang didakwa oleh Ibn Bathuthah. Beliau hanyalah memberi kuliah
pengajiannya di atas kerusi sahaja. Ini seperti yang disebut oleh
anak-anak muridnya yang menulis sejarahnya, antara mereka al-Imam
al-Zahabi.
· Keempat: Tulisan-tulisan Ibn Taimiyyah rahimahullah menafikan hal ini
(iaitu akidah tajsim dan tasybih). Antaranya pegangan akidah Ibn
Taimiyyah yang dipetik oleh Nasir al-Din al-Syafi’e (w. 842H) dalam
al-Radd al-Wafir (cetakan al-Maktab al-Islami, Beirut) :
“Mazhab Salaf, para imam yang empat dan selain mereka ialah menithbatkan
(menetapkan sifat Allah) tanpa tasybih (menyerupakan dengan sesuatu),
mensucikan-Nya tanpa ta’thil (menghilangkan fungsi sifat). Tidak boleh
bagi seseorang meletakkan sesuatu pegangan atau ‘ibarah (huraian atau
rangkaian ucapan) daripada dirinya sendiri. Bahkan dia hendaklah
mengikuti dalil, bukan membuat bid’ah.”
Demikian sekelumit dari puluhan contoh fitnah yang dilontarkan oleh
salah seorang tokoh Ahli Bid’ah ke atas tokoh Ahli Sunnah yang sempat
saya kemukakan di sini. Sebenarnya masih terdapat banyak lagi pendustaan
yang disandarkan oleh K.H Sirajuddin Abbas al-Jahmiyyah ke atas
Syaikhul Islam Ibn Tamiyyah rahimhullah yang tidak dapat saya muatkan
dalam ruangan yang amat terbatas ini. Walau bagaimanapun, Alhamdulillah,
sebagaimana yang saya telah nyatakan sebelum ini bahawa tidaklah semua
tohmahan, tuduhan melulu dan fitnah yang dilemparkan oleh para tokoh
Ahli Bid’ah di atas terhadap Syakihul Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah
melainkan telah pun disediakan jawapannya semula secara ilmiah oleh para
pencinta al-Sunnah Rasulullah shalallahu ‘alaihi wasallam. Sekali lagi
diingatkan agar para pembaca yang budiman sekalian dapat meneliti
sendiri buku-buku yang telah disenaraikan di atas bagi mengetahui
hakikat pendustaan oleh para pendukung aliran bid’ah tersebut ke atas
Syaikhul Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah dan para tokoh Ahli Sunnah
lainnya.
Kesimpulan.
Bagi mengakhiri perbahasan kita mengenai hakikat sebenar pegangan
Syaikhul Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah berhubung dengan tauhid
al-Asma’ wa al-Sifat Allah Subhanahu wa Ta’ala, maka akan saya kemukakan
lagi beberapa fakta “tambahan” berupa keterangan yang bersumberkan
daripada pengakuan Syaikhul Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah itu
sendiri.
Diminta kepada para pembaca yang budiman sekalian agar dapat berlaku
adil lagi terbuka dengan membandingkan ia dengan pegangan para Imam
muktabar Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah lainnya sebagaimana yang telah saya
kemukakan di bahagian artikel ke-2 buku ini (sila baca ulasan saya
dalam artikel bertajuk Wahabi: Meluruskan Salah Faham) untuk kita
melihat sejauh manakah benarnya dakwaan Ahli Bid’ah ke atas Syaikhul
Islam sebagai seorang tokoh ulamak yang berakidah al-Mujassimah dan
al-Musyabbihah dan bertentangan dengan akidah para ulamak muktabar Ahl
al-Sunnah wa al-Jama’ah lainnya. Syaikhul Islam Ibn Taimiyyah
rahimahullah berkata:
“Maka ini adalah iktikad firqah najiah (puak yang selamat) Ahl al-Sunnah
wa al-Jama’ah yang beroleh pertolongan sehingga hari Kiamat, iaitu
beriman dengan Allah… Dan di antara (cara) beriman dengan Allah ialah
beriman dengan apa yang Dia telah sifatkan diri-Nya dengannya dalam
kitab-Nya dan dengan apa yang telah Rasul-Nya Muhammad shallallahu
‘alaihi wasallam menyifatkan-Nya dengannya, tanpa tahrif (mengubah atau
menukar ganti makna), tanpa ta’thil (menafikan sifat bagi Allah
Subhanahu wa Ta’ala), tanpa takyif (menggambarkan rupa bentuk sifat) dan
tanpa tamtsil (mengumpamakan makna dengan sesuatu).
Bahkan, mereka (Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah) beriman sesungguhnya Allah
Subhanahu wa Ta’ala tidak sebanding (Zat, Sifat-Sifat dan pentadbiran)
Nya dengan sesuatu apapun, dan Dialah yang Maha Mendengar lagi Maha
Melihat. Mereka (Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah) tidak menafikan dari-Nya
apa yang Dia telah sifatkan diri-Nya dengannya, mereka tidak
mentahrifkan perkataan dari tempat-tempat (atau maksud)nya yang sebenar,
mereka tidak mengilhadkan (menolak secara anti) nama-nama Allah serta
ayat-ayat-Nya, mereka tidak membentukkan rupa makna dan mereka tidak
mengumpamakan sifat-sifat-Nya dengan sifat-sifat makhlukNya, kerana
sesungguhnya (Allah) Subhanahu wa Ta’ala tidak ada yang menyamai
nama-Nya, tidak ada yang menyetarai-Nya, tidak ada yang menyekutui-Nya
dan tidak boleh dikiaskan-Nya dengan makhluk-Nya, Subhanahu Wa Ta’ala…”
[Al-‘Aqidah al-Wasathiyyah, Ahmad Ibn ‘Abd al-Halim al-Harrani Ibn
Taimiyyah, ms. 5-7; dalam Siapakah Ahli Sunnah Yang Sebenar, ms. 48-49].
Di halaman yang lain, Syaikhul Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah menyebut:
“Maka sesungguhnya firqah najiah Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah beriman
dengan yang demikian itu (nas-nas hadis berkenaan sifat Allah Subhanahu
wa Ta’ala), sebagaimana mereka beriman dengan apa yang difirmankan oleh
Allah Subhanahu wa Ta’ala dengannya dalam kitab-Nya, tanpa tahrif, tanpa
ta’til, tanpa takyif dan tanpa tamtsil. Bahkan merekalah yang sederhana
di kalangan puak umat ini sebagaimana umat ini juga yang sederhana di
kalangan umat-umat (yang lain), kerana mereka (Ahl al-Sunnah wa
al-Jama’ah) sederhana dalam bab sifat-sifat Allah Subhanahu wa Ta’ala di
antara Ahli Ta’thil al-Jahmiyyah dan Ahli Tamtsil al-Musyabbihah.”
[Al-‘Aqidah al-Wasathiyyah, Ahmad Ibn ‘Abd al-Halim al-Harrani Ibn
Taimiyyah, ms. 23-24; dalam Siapakah Ahli Sunnah Yang Sebenar, ms.
49-50].
Makluman: Artikel ini merupakan sedutan daripada ulasan saya ke atas
artikel Misteri Wahabi Di Malaysia, Karya Dr. Mohd Asri Zainul Abidin
yang saya muatkan dalam buku saya “Katakan Tidak Pada Wahhabi” bagi
Edisi Baru (edisi kedua) yang akan diterbitkan oleh Perniagaan
Jahabersa, Johor Bahru. Insya’ Allah. Dipersilakan untuk menyebarkan
risalah ini kepada sesiapa jua untuk pengkajian ilmu. Sekian, wassalam –
Mohd Hairi Nonchi, UMS.
Email This BlogThis! Share to Twitter Share to Facebook